16 December 2010

ISLAM DAN HAIWAN

Oleh ARIF FAHMI MD YUSOF

SEORANG pakar sejarah dan undang-undang dari Universiti Northwestern, Chicago, Dr Kristin Stilt dalam kajiannya mengenai haiwan dan Islam mengakui sistem kebajikan haiwan dalam Islam sebagai satu model yang amat sesuai bagi setiap manusia.

Dr. Richard Foltz, seorang sarjana dari Universiti Concordia, Canada yang banyak menyelidik tentang haiwan dan agama juga melihat perlindungan yang diberi oleh Islam kepada haiwan adalah lebih baik berbanding agama lain dan sistem barat.

Kedudukan haiwan dalam Islam memang telah sedia termaktub dalam al-Quran dan sunnah. Walaupun haiwan tidak diberikan kedudukan setaraf manusia dari segi akal fikiran, kedudukan mereka dari sudut kehambaan adalah sama seperti manusia.

Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu (al-An'am: 38).

Haiwan merupakan salah satu makhluk hidup ciptaan Allah selain manusia. Selain menyebut tentang kisah kehidupan manusia, firman-firman Allah juga menceritakan perihal haiwan.

Ini dizahirkan dengan enam daripada 114 surah dalam al-Quran yang dinamakan sempena nama-nama haiwan seperti surah-surah al-Baqarah (lembu), al-An'am (haiwan ternakan), al-Nahl (lebah), al-Naml (semut), al-Ankabut (labah-labah) dan al-Fil (gajah).

Ayat-ayat al-Quran juga secara umum dan spesifik menyebut haiwan-haiwan lain seperti unta, kuda, keldai, biri-biri, monyet, anjing, khinzir, ular, nyamuk, lalat, burung hud-hud, gagak dan banyak lagi.

Hadis-hadis Rasulullah SAW juga kerap kali menceritakan tentang haiwan terutamanya tanggungjawab manusia terhadap haiwan.

Sebelum kedatangan Islam, haiwan digunakan sebagai alat dalam pemujaan dan sihir oleh sebilangan besar masyarakat jahiliah. Penyembelihan dilakukan atas nama berhala. Haiwan seperti unta, kuda, dan lebah dianggap sebagai pembawa berkat dalam kehidupan mereka. Anjing dan kucing pula dikaitkan dengan kejahatan. Ia seterusnya membawa pengaruh yang besar dalam masyarakat Arab sehingga beberapa suku kaum dinamakan sempena nama haiwan seperti Quraish (jerung), Kalb (anjing) dan Asad (singa).

Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah mengubah amalan songsang masyarakat jahiliah. Penyembelihan atas nama berhala digantikan dengan nama Allah.

Islam menolak kepercayaan masyarakat jahiliah yang mengaitkan haiwan dengan perkara-perkara tertentu seperti keberkatan dan kejahatan serta menggolongkan mereka di kalangan yang dusta kepada Allah (al-Maidah: 103).

Haiwan disifatkan sebagai hamba yang sentiasa patuh kepada suruhan Allah.

Lihatlah firman Allah kepada lebah yang bermaksud: Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok dan dari apa yang mereka dirikan (al-Nahl: 68).

Kepatuhan lebah kepada Allah dapat dilihat hingga sekarang dan kebanyakan sarang-sarang mereka didirikan di atas pokok, dalam hutan dan di tempat penternakan lebah yang disediakan oleh manusia.

Allah juga berkuasa menjadikan haiwan dan manusia memahami antara satu sama lain. Inilah antara mukjizat yang diberikan kepada nabi Allah Sulaiman yang dapat memahami bahasa haiwan.

Kisah ini dirakamkan dalam al-Quran apabila Nabi Sulaiman mengarahkan tentera baginda berhenti sewaktu mendengar suara seekor semut yang memberikan amaran kepada rakan-rakannya supaya segera masuk ke sarang mereka daripada dipijak oleh tentera baginda (al-Naml: 18).

Haiwan juga disifatkan oleh Allah sebagai hamba yang taat dan sentiasa bertasbih kepada Allah. Hanya kita manusia yang tidak memahami tasbih mereka (al-Israk: 44)

Makhluk Allah ini juga sentiasa taat mengerjakan ibadat dan memuji kebesaran Allah dan Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka lakukan (al-Nur: 41).

PERINTAH MENGADAP KA'BAH


Susunan SITI AINIZA KAMSARI


NABI Muhammad SAW telah bertindak wajar dan adil dalam Operasi Nakhlah, iaitu satu serangan pihak Islam terhadap rombongan dagang pihak Quraisy yang tidak sepatutnya berlaku disebabkan pengharaman perang dalam bulan-bulan haram.

Baginda membayar diat atas kematian Amru bin al Hadrami yang mati akibat terkena panah daripada pasukan umat Islam, membebaskan tawanan dan menahan daripada harta rampasan dibahagi-bahagikan.

Sekalipun telah diturunkan ayat yang menafikan fitnah-fitnah pihak Quraisy, namun musuh Islam tetap menyebarkan kepada seluruh pelosok alam bahawa orang Islam sudah membolehkan berperang dalam bulan haram.

Fitnah tersebut berterusan apabila umat Islam diperintahkan mengubah arah kiblat mereka daripada Baitul Maqdis ke arah Mekah.

Namun perkara tersebut boleh dijelaskan dalam aspek realiti yang berlaku pada masa itu.

Semasa di Mekah, Nabi Muhammad sembahyang menghadap ke arah Masjid al Aqsa, Baitul Maqdis dengan kedudukan Kaabah berada di hadapan baginda.

Dengan lain perkataan baginda menghadap arah kiblat itu kepada kedua-dua kedudukan selari Kaabah dan Baitul Maqdis sekali gus.

Namun, apabila baginda berhijrah ke Madinah dengan kedudukan Baitul Maqdis di utara Madinah dan Mekah. Maka, Mekah kini berada dalam kedudukan selatan dari arah Madinah.

Jadi, bayangkan kesukaran kepada baginda dan umat Islam bagi menjadikan kedua-dua kedudukan Baitul Maqdis dan Mekah berada dalam satu kiblat.

Justeru, baginda sangat berharap agar kedudukan kiblat tersebut dapat diubah dengan baginda lebih memilih kedudukan Mekah sebagai kiblat terbaru.

Baginda sentiasa tertunggu-tunggu bilakah Allah akan mengubah kiblat dari Masjid Al Aqsa, Baitul Maqdis itu kepada Kaabah di Masjidil Haram, Mekah.

Akhirnya pada bulan Syaaban (sesetengah mengatakan bulan Rejab) tahun kedua Hijrah bersamaan Februari tahun 624 Hijrah, Allah memerintahkan kiblat umat Islam diubah dari kedudukan Masjid Al Aqsa itu ke Kaabah.

Peristiwa itu tentunya berlaku di Masjid Al Qiblaitain yang pada asalnya dikenali sebagai Masjid Bani Salamah yang kini kita boleh temui di sebatang jalan menuju ke Universiti Al Madinah berdekatan sebuah istana Diraja Arab Saudi berhampiran Wadi Aqi di bandar Madinah. Ia beberapa kilometer dari Masjid Nabawi dan dianggap antara masjid tertua di dunia.

Ketika itu baginda sedang menunaikan solat fardu Zohor di Masjid Bani Salamah itu secara tiba-tiba, iaitu ketika baginda berada dalam rakaat kedua, turunlah ayat dari surah al-Baqarah ayat 144, yang bermaksud: Sungguh kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka sungguh kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Al Kitab (Taurat dan Injil) memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya, dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan."

Sejurus menerima ayat ini, baginda yang sedang solat itu terus mengubah arah kiblat baginda dari Masjid Al Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

Sejak itu Masjid Bani Salamah dikenali sebagai Masjid Al Qiblaitain bererti Masjid Dua Kiblat, di mana terdapat padanya dua mihrab yang kiblatnya masing-masing mengadap Masjid Al Aqsa dan Kaabah di Mekah.

Namun, menerusi ayat tersebut jelas Allah sekali lagi menempelak pihak Quraisy yang terus menabur fitnah terhadap umat Islam ekoran pertukaran arah kiblat itu.

Mereka berkata: "Adakah ini satu agama, sekejap menghadap Baitul Maqdis. Sekarang sudah berubah menghadap Kaabah pula."

Hampir sebulan selepas peristiwa besar itu maka berlakulah apa yang sangat diingati oleh umat Islam, iaitu perang pertama dalam Islam iaitu Perang Badar.

Sebelum perang, berlaku pelbagai peristiwa dan yang paling utamanya perintah mewajibkan umat Islam berpuasa sepanjang bulan Ramadan.

Iaitu bulan Ramadan yang kedua (tahun kedua) selepas hijrah baginda ke Madinah.

MUMIA TEMUKAN DR. MAURICE DENGAN ISLAM


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

UKUR KEMAMPUAN ELAK PERANGKAP HUTANG

Sumber: Berita Harian

Umat Islam mesti urus kewangan dengan bijak hindar perbelanjaan melampaui pendapatan

ALIRAN dunia hari ini menyediakan hutang dalam pelbagai bentuk sedikit sebanyak mampu mengaburkan mata sesiapa saja yang mudah terpedaya. Tidak salah berhutang, tetapi sikap ambil mudah tanpa mengukur kemampuan sendiri adalah musuh utama.

Tujuan kita bekerja bagi mencari rezeki menampung kehidupan. Justeru, gaji yang diterima sama ada sikit atau banyak, adalah rezeki dikurniakan Allah. Tanpa membandingkan dengan orang lain, kita patut syukur dan bermuhasabah atas setiap kurniaan-Nya.

Jika masih tidak cukup memenuhi keperluan dan kehendak, kita harus berusaha lebih keras bagi mencapainya. Jika berlebihan, sebaiknya berkongsi rezeki itu dengan golongan memerlukan.Kita dibenarkan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan melalui zakat, galakan memberi sedekah dan hutang. Orang yang memberi lebih baik daripada yang menerima kerana rezeki yang dikongsi meringankan beban orang lain.

Malangnya ada segelintir umat Islam suka berhutang untuk bermewah-mewah. Ada juga yang tidak mampu melangsaikan hutang mengikut waktu ditetapkan, tetapi masih suka berhutang.

Malah, hutang menjadikan seseorang itu malas bekerja kerana berasa cukup dengan apa yang dimiliki.

Ada pula berhutang untuk melakukan maksiat kepada Allah. Mereka taksub kepada harta dunia hingga berhutang melampaui kemampuan membeli rumah besar, kereta mewah dan melancong.Malah, ada yang berhutang untuk mendapatkan modal perniagaan skim cepat kaya, yang akhirnya memakan diri sendiri.

Memang benar keperluan hari ini melebihi pendapatan diperoleh. Justeru, perlu bekerja keras dan menguruskan kewangan dengan bijak. Menggunakan kad kredit bukan penyelesaian, malah menjadi perangkap menggalakkan berhutang walaupun tidak perlu.

Jualan barangan menawarkan skim ‘guna dulu bayar kemudian’ juga strategi hutang yang akhirnya membebankan pembeli.

Sikap mengukur baju di badan sendiri perlu diamalkan bagi mengelak diri dibelenggu masalah kewangan yang akan membebankan apabila hutang dituntut kelak.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Tuhan-Nya.” (Surah al-Israa’, ayat 26-27)

Banyak masalah rumah tangga timbul disebabkan hutang sehingga menyebabkan perceraian dan pertelingkahan berpanjangan, menyukarkan pembahagian harta sepencarian serta membayar nafkah. Paling menyakitkan, bekas suami mewariskan bebanan hutang kepada bekas isteri.

Tidak salah berhutang kepada tiga golongan memerlukan iaitu orang menanggung beban dan hutang membolehkannya membayar tanggungan itu. kedua, orang yang terbukti miskin dan hutang membolehkannya mendapatkan sumber untuk meneruskan kehidupan.

Yang terakhir ialah orang ditimpa bencana sehingga harta bendanya musnah dan hutang membolehkannya mendapatkan sumber untuk memulihkan kehidupannya seperti sedia kala.

Walaupun hutang simbol penghinaan, ia dibenarkan tetapi perlu diingat hikmah hutang dalam Islam bagi membolehkan orang mengalami kesusahan mencukupkan keperluan hidup sehingga membolehkannya menunaikan ketaatan kepada Allah SWT.

Ramai lupa hakikat ini dan menjadikan hutang jalan keluar daripada kesempitan tanpa memikirkan hikmah Allah SWT membenarkan hutang sebagai peringatan supaya sentiasa berada di jalan-Nya.

MENDAPAT BAHAGIA, RAHMAT DENGAN MENCINTAI WALI

Sumber: Berita Harian

DARIPADA Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT berfirman: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang ke atasnya. Dan tidaklah seseorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku cintai melainkan dengan apa yang telah Aku fardukan ke atasnya, berterusanlah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepadamu dengan mengerjakan (amalan) nawafil hinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Aku adalah penglihatannya yang dengannya ia melihat dan tangannya yang dengannya ia memegang dan kakinya yang dengannya ia berjalan.Dan jika ia meminta dari-Ku, Aku akan mengurniakannya dan jika ia memohon perlindungan dengan-Ku, Aku akan melindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Wali adalah hamba Allah SWT yang ikhlas melaksanakan semua perintah semata-mata kerana Allah SWT.Ini disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Ingatlah sesungguhnya wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa. Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimah (janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Surah Yunus, ayat 62-64)

Apabila hati penuh dengan kebesaran Allah SWT maka dihapuskan apa yang selain daripadanya. Dia tidak akan berbicara melainkan dengan zikir kepada Allah, tidak mendengar melainkan mengenai Allah SWT, tidak melihat melainkan tanda kebesaran Allah SWT.

Setiap orang yang menyakiti wali Allah, contohnya seorang yang fasik memusuhi wali disebabkan sentiasa menegahnya daripada melakukan kejahatan dan maksiat, maka Allah SWT akan memusuhinya.

Ini disebabkan seorang wali adalah mereka yang benar-benar mencintai Allah dan sentiasa menghampirkan dirinya kepada pencipta maka sebagai balasan, Allah akan memeliharanya dan mengawasinya daripada segala bentuk ancaman tidak baik kerana ia seolah-olah telah menyakiti Allah juga.

Amalan paling dicintai Allah SWT ialah mengerjakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya serta banyak mengerjakan amalan sunat serta kebajikan.
Antara doa yang selalu dibaca untuk mendekatkan diri kepada Allah ialah doa Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ya Allah, jadikanlah cahaya di dalam hatiku, cahaya di dalam penglihatanku dan cahaya di dalam pendengaranku.”

Sesungguhnya doa seorang wali adalah mustajab. Golongan wali yang paling utama di sisi Allah SWT ialah para Nabi dan Rasul yang maksum disusuli sahabat dan mereka yang datang selepasnya.