21 August 2013

UMUR KIAN SINGKAT, AJAL MAKIN HAMPIR

Mohd.Zawawi Yusoh

MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah memasuki tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.

Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?”

Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365 hari manakala tahun itu juga adaah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah menjadi setahun.

Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari. Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja, sudah tentu tidak ke mana.


Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam pun tidak tercapai lagi.


Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari, setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak.

Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau belum tahun yang baru.

Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu menunggu kita.
Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik.

Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat sejarahnya.

Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal sejarah.

Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting.

Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu.

Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam, buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang dilalui sepanjang setahun.

Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa.

Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang paling hampir pada diri kita adalah kematian.

Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini.

Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan diri anda.

Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat sendiri tak pandai.

Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam tempoh sekelip saja.

Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri.

Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk melakukannya.

Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat hasil yang baik pada masa akan datang.

Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah memanjakan diri anda untuk berubah.

Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri.

Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri. Jika perubahan hanya dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama.

Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan. Anda perlu sentiasa melakukannya.

Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah kerana disebabkan orang lain.

Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat berubah seperti yang diharapkan.

Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak orang lain berubah. Cuma awas berubah jangan jadikan ia upacara bermusim berubah dan beristiqamah sehingga menemui Allah.

Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk menguji siapakah yang paling baik amalannya.

AMANAH BERAT BUAT PENDIDIK

Mohd.Zawawi Yusoh

PASAR RAYA, kedai pakaian dan buku mula menjadi tumpuan ibu bapa. Bukan sebab hendak sambut raya, tetapi kerana penggal persekolahan akan bermula tidak lama lagi.

Ada yang mengambil cuti demi untuk membuat persiapan sekolah anak seperti pakaian, kasut dan stokin. Bukan sedikit wang dan belanja yang dikeluarkan untuk semua keperluan itu.

Apatah lagi kepada mereka yang mempunyai keluarga besar dengan anak ramai. Yang penting, ibu bapa puas kerana tertunai tanggungjawab mereka.

Mengapa ibu bapa sanggup berbuat apa saja demi persiapan belajar anak?


Sebab utamanya ialah sekolah adalah tempat kepercayaan ibu bapa kepada golongan pendidik.


Mereka menghantar anak kerana kepercayaan terhadap sistem pendidikan sesebuah sekolah. Masalah bayaran bukan menjadi perkara besar kerana yang penting anak yang dihantar menjadi anak soleh serta mewarisi perjuangan ibu bapa dan agama pada masa hadapan.

Kepada pendidik, dalam melaksanakan amanah pendidikan terhadap pelajar, jangan hanya menekankan aspek hubungan akademik semata-mata, tetapi ‘buruan’ paling penting ialah hubungan dengan Allah.

Masyarakat pula kabur dengan tujuan yang dikehendaki daripada sistem pendidikan Islam itu iaitu Allah adalah matlamat. Mendapatkan keredaan Allah adalah harapan yang perlu diperkatakan selalu.

Ada ibu bapa dan guru menyebut mereka adalah pewaris kepada perjuangan nabi, tetapi yang menjadi kepentingan dalam hidup mereka adalah keduniaan yang tidak membawa kepada perjuangan yang mereka yakini.

Tidak mengenal mana yang lebih utama, Islam, nama, prestasi atau pangkat. Ketika pertembungan antara kedua-duanya maka yang lebih utama adalah dunia, nama dan prestasi.

Yang penting dapat banyak A, guru dan pendidik mendapat nama. Apakah puncanya? Ia terjadi kerana orientasi pendidikan yang dilalui tidak menghubungkan hatinya dengan Allah.

Kita pernah mendengar kisah seorang budak gembala kambing dengan Saidina Umar Al-Khattab. Saidina Umar minta izin daripada budak itu untuk membeli seekor kambing dan bayarannya akan diberi terus kepada budak itu tanpa dibuat dengan pemilik kambing.

Beliau sengaja menguji budak itu sama ada amanah atau tidak lantas budak itu menjawab..., “Aku boleh tipu tuan kambing, tapi aku tidak mampu menipu Allah pencipta,” jawab budak itu.

Pendidikan akan menghidupkan hati dengan Tuhannya Yang Maha Mengetahui. Semoga kita semua menjanakan pendidikan bermula dari hati yang sihat dalam hubungan dengan Pencipta.

Kesibukan membuat persiapan anak ke sekolah juga patut kita praktikkan caranya bagi menghadapi hari akhirat yang kekal abadi.

Jadi, kita juga perlu bersungguh-sungguh menyediakan bekalan terbaik dan secukupnya sebelum sampai ke sana.

Ia perlu disiapkan sekarang. Setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini akan menjadi bekalan yang bakal kita bawa. Jika baik maka baiklah bekalannya, tetapi jika sebaliknya maka buruklah bekalan kita.

Jangan sampai menyesal pada hari akhirat nanti kerana semuanya dicatat dalam buku amal.

Firman Allah SWT satu golongan dalam surah al-Kahfi ayat 49 bermaksud: “Dan kitab-kitab amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: Celakalah kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semuanya dihitung, dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.

Permulaan cemerlang sangat penting untuk mencapai hasil yang cemerlang, tetapi mengakhiri sesuatu kecemerlangan lebih perlu dihayati.

Ia memerlukan keyakinan mantap dan persiapan terbaik. Semoga Allah memberikan taufik dalam langkah kita seterusnya.

AL-QUDS MASIH BELUM AMAN DARIPADA KEGANASAN ISRAEL

TANAH suci Al-Quds di dalamnya berdiri masjid suci, Al-Aqsa. Sudah bertahun-tahun lamanya Al-Quds dalam cengkaman dan kebiadapan zionis Israel.

Sudah bertahun-tahun ratusan bahkan ribuan nyawa gugur. Penderitaan rakyat Palestin tidak kira tua, muda, lelaki, wanita, anak bahkan bayi yang belum sempat melihat dunia juga mendapat gelaran syahid.

Tempat yang dulunya ceria, kini sepi dan musnah. Mayat bergelimpangan di sana sini seolah-olah menjadi pemandangan biasa di sana.

Ya Rabbi... hati terluka, daging bagaikan terhiris apabila menyaksikan penderitaan mereka di bumi anbiya’ itu. Panggilan jihad pun selalu datang menyapa.


Ke mana lagi hendak meminta pertolongan kecuali hanya kepada Sang Pencipta.

Apakah diri kita hanya berdiam diri melihat saudara Islam kita dizalimi ?

Tidak!!! Aku tidak rela masjid suci, Masjidil Aqsa tempat di mana Rasulullah melakukan Mikraj ke Sidratul Muntaha, dinodai kesuciannya.

Rejim Zionis tidak akan pernah mengakui hak bangsa Palestin.

Tidak ada cara lain mendapatkannya kecuali dengan melawan meskipun tahu harganya sangat mahal dan menyakitkan. Siapakah yang rela melihat saudaranya mengalami kekerasan berterusan dan membabi buta?

Siapakah rela melihat hak kemerdekaan dan martabat kemanusiaan saudaranya dipertikai? Siapakah yang rela melihat saudaranya disembelih, dibakar hidup-hidup di dalam rumah zionis laknatullah? Siapakah yang rela melihat saudaranya di kem pelarian, rumah dan masjidnya diserang sehingga rata dengan tanah?

Siapakah yang rela melihat hak pendidikan saudaranya dirampas dan sekolah dibom? Siapakah yang rela melihat saudaranya diperlakukan seperti binatang, rumah dihancurkan sehingga membuatkan penghuninya terkubur hidup-hidup?

Siapakah yang rela melihat saudaranya yang sedang khusyuk bersolat ditembak?
Siapakah yang rela melihat saudaranya dipenjara zionis dengan seksaan serta diracuni bahan kimia?

Siapakah yang rela melihat saudaranya yang menjadi penghafal al-Quran diseksa tanpa belas ihsan? Dunia sudah melupakan Al-Quds sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

Ke mana mata hati pemimpin dunia yang mengagung-agungkan slogan Perlindungan Hak Asasi Manusia? Apakah mata hati mereka buta? Atau mereka memang tak punya mata hati sehingga tidak mampu lagi melihat kekejaman pengganas besar bernama Zionis Israel itu.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang mukmin dalam cinta mencintai, kasih menga­sihi dan sayang menyayangi adalah laksana satu tubuh.
Jika salah satu anggotanya sakit maka seluruh tubuhnya akan sakit demam” (Hadis riwayat Muslim).

Siapa lagi yang peduli dengan saudara seagama kita di bumi Al-Quds selain kita? Kita yang mengaku beriman, mengaku Muslim, mengaku mencintai Allah dan Rasul-Nya.

Hanya satu kata, lawan! Lawan zionis dengan ilmu, kita lawan zionis dengan keimanan, kita lawan zionis dengan harta, kita lawan zionis dengan teknologi, kita lawan zionis dengan produk yang lebih berkualiti, kita lawan zionis dengan bersatu padu, kita lawan zionis dengan memakmurkan masjid barulah kita layak hendak menawan kembali Baitulmaqdis.

Kita lawan juga zionis dengan doa dan memilih Islam sebagai cara hidup. Itulah yang sangat digeruni Israel. Duhai Al-Quds, Palestin dan Masjidil Aqsa, sesungguhnya deritamu adalah deritaku juga, kesedihanmu kesedihanku juga, kepedihanmu kepedihanku juga, lukamu lukaku juga, senyummu adalah senyumku juga.

MENJAGA RASA MALU MEMANDU JALAN KE SYURGA

Mohd.Zawawi Yusoh

SETIAP hari, masyarakat kita didedahkan dengan berita kejahatan, rasuah, rompak samun, bunuh, rogol, kekerasan, penindasan, penganiayaan, cerai, curang, bersekedudukan dan pelbagai lagi tragedi yang sangat menyesakkan.

Jenayah dan kejahatan itu berlaku di semua peringkat dari remaja, dewasa, hinggalah ke orang tua. Lebih parah lagi, kemaksiatan itu tidak lagi secara sembunyi, malah secara terang-terangan dengan penuh kebanggaan dan keberanian.

Sikap seperti itu menunjukkan rasa malu yang hilang. Dulu, orang merasa malu dan sembunyi kalau nak buat dosa kerana bimbang diketahui orang.

Namun sekarang, bukan saja sudah tidak malu, tetapi merasa bangga pula melakukan dosa. Itulah bahana bila hilang sifat malu. Padahal, orang yang kehilangan rasa malu, laksana kehilangan air kehidupannya.


Malu adalah sifat yang ada dalam diri seseorang yang menggerakkan diri meninggalkan semua perilaku buruk dan mencegahnya dari perbuatan memalukan.


Rasulullah SAW menempatkan malu sebagai salah satu cabang iman. Melalui sabdanya yang terkenal, “Iman itu ada enam puluh lebih cabang dan malu adalah salah satu cabangnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Malu adalah sebahagian daripada keimanan kita, kehilangan rasa malu bererti hilang sebahagian iman kita. Tidak sempurna keimanan seseorang jika tidak mampu menjaga rasa malunya. Menjaga rasa malu sama dengan menjaga keimanan kita supaya tetap sempurna.

Mengapa rasa malu kian pudar dalam diri seseorang? Ia disebabkan rasa takut terhadap azab Allah kian menipis. Yang menjadi ukuran baik dan buruk adalah manusia, bukan Allah.

Padahal Rasulullah SAW memerintahkan kepada kita agar benar-benar menjaga rasa malu kepada Allah SWT untuk menuju jalan ke syurga.

Jalan manusia ke syurga akan terhambat saat tidak dapat menjaga rasa malunya.

Rasulullah bersabda, “Malulah kalian pada Allah dengan rasa malu yang sesungguhnya. Jagalah kepala dan yang ada padanya. Jagalah perut dan apa yang dikandungnya. Ingatlah kematian dan ujian. Maka barang siapa yang melakukan itu, balasannya adalah Syurga Ma’wa.” (Hadis Rriwayat At-Thabrani)

Hadis itu memerintahkan kita untuk menjaga rasa malu dengan menjaga kepala dan anggota. Malunya mata tergambar ketika dapat menahan melihat sesuatu yang diharamkan agama.

Malunya telinga ketika dapat menahan dari bisikan syaitan. Malunya mulut ketika dapat menahan daripada ghibah dan fitnah.

Ramai juga orang menghalalkan segala cara dan meninggalkan rasa malunya demi kepentingan perutnya.

Sungguh benar hadis ini, jika ingin mudah jalan ke syurga, kita perlu menjaga rasa malu dengan tidak mengizinkan setiap anggota tubuh kita melakukan dosa dan maksiat.

Seorang Muslim yang memiliki rasa malu pasti dapat menjaga setiap anggota tubuhnya untuk kebaikan dunia akhirat. Mulutnya untuk kebaikan zikir, telinganya untuk mendengar kebaikan, matanya tak luput dari melihat tanda kekuasaan Allah.

Perutnya tidak pernah terisi makanan haram dan kakinya selalu setia melangkah ke tempat yang diberkati Allah. Maka, malu adalah hiasan diri, takwa adalah kemuliaan, dan sebaik-baik kenderaan adalah sabar, sedangkan menunggu jalan keluar dari Allah SWT adalah ibadah.” (Hadis riwayat Hakim At-Tirmidzi)

Hadis berkenaan mengisyaratkan, malu adalah hiasan diri. Kita seharusnya benar-benar menyesal saat khilaf berlaku maksiat. Kita perlu bertaubat jika melakukan kezaliman yang menghinakan.

Rasulullah mengingatkan kita dalam sabdanya, “Malu dan keimanan itu sentiasa bergandingan. Apabila salah satunya diangkat, yang satu lagi akan jatuh.” (Hadis riwayat Muslim)

Ini menunjukkan barang siapa yang tidak memiliki rasa malu, dia kehilangan imannya. Sesungguhnya orang yang beriman pasti memiliki rasa malu.

Hilangnya rasa malu membuat seseorang mudah berjanji dan mudah pula mengingkarinya, ringan untuk mengumpat, memfitnah dan menghina sesama insan, ­mudah curang dan sebagainya.

Jika memiliki rasa malu membuat seseorang melakukan kebaikan di saat dia berada di tengah orang ramai ataupun ketika bersendirian. Ia akan malu melakukan dosa walaupun tidak seorang pun melihatnya kerana yakin Allah Maha Mengetahui atas segala apa yang dilakukan.

Bagaimana menjaga rasa malu pada diri? Kita perlu menanamkan sikap muraqabah dalam diri. Muraqabah bererti menanamkan dapat mengawal diri seolah-seolah kita melihat Allah ketika melakukan kebaikan dan jika tidak mampu begitu pun, kita seolah-olah merasa Allah mengawasi atas segala perbuatan yang kita lakukan.

Dengan sikap muraqabah itu, kita akan berhati-hati kerana sering merasa diri dalam pengawasan Allah. Selanjutnya, menjaga rasa malu ­dengan menanamkan kesedaran bahawa sekecil mana pun amal yang dilakukan, baik atau buruk pasti mendapat balasan dari Allah.

Pahala kebaikan adalah syurga dan balasan kejahatan ialah neraka. Menjaga rasa malu pahalanya syurga dan bagi orang yang tidak memiliki rasa malu neraka balasannya.

Rasa malu akan terlatih ketika kita bergaul dengan orang yang mampu menjaga rasa malunya. Ingat, persekitaran kita menunjukkan siapa diri kita.

Untuk meningkatkan darjat sebagai manusia soleh, mari kita menjaga keimanan dengan cara menjaga malu. Malu dan keimanan itu sentiasa beriringan. Jika rasa malu hilang, keimanan pun melayang.

HIDUP DIBERKATI

Mohd.Zawawi Yusoh

CINTA adalah naluri manakala manusia adalah pencari cinta. Kadang-kadang, demi cinta manusia sanggup melakukan apa saja. Ungkapan ‘cinta itu buta’ menambah kebutaan sehingga lupa kepada yang Maha Pencipta iaitu Allah.

Bersungguh-sungguh mencari cinta sementara yang penuh risiko dan derita, lupa mencari cinta yang kekal abadi dan hakiki. Menurut cerdik pandai, kalau nak kenal sejauh mana Allah cinta kita, boleh tanya diri kita sendiri, sejauh mana kita dahulu mencintai Allah.

Kita yang menjalani kehidupan ini yang semuanya ‘meminjam’ daripada Allah. Kita lupa kepada yang memberi pinjam. Sudahlah meminjam, menumpang pula, tak tahulah pula kita ini disayangi atau dimurkai.

Betapa bahagianya kalau dicintai Sang Pencipta yang menguasai segala-galanya. Alangkah derita jika kita antara makhluk yang tidak disukai Allah, apatah lagi jika dimurkai.


Pada pertemuan kali ini, mari kita melihat tanda-tanda jika kita disayangi Allah iaitu:



Allah akan menjaganya di dunia

Apabila Allah mencintai seorang hamba, maka Allah akan menjaganya. Allah jaga mereka daripada dunia yang melalaikan dan dosa yang akan menghancurkan kehidupannya.

Maka dalam setiap perjalanan waktu, Allah perlu menjadi tujuan kita. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah akan menjaga hamba-Nya yang beriman dan Dia mencintai-Nya seperti kalian menjaga makanan dan minuman orang sakit (di antara) kalian, kerana kalian takut pada (kematiannya).” (Hadis riwayat Al-Hakim, Ibnu Abi ‘Ashim dan Al Baihaqi).


Kesolehan

Ketika Allah mencintai seorang, Allah akan memberikan kekuatan kepadanya untuk menjadi hamba yang soleh. Allah mudahkan mereka untuk melakukan kebaikan.

Maka, perjuangan menjadi lebih soleh adalah langkah mendapatkan sepenuh cinta daripada Allah. Dalam sebuah hadis yang maksudnya: “Allah memberikan dunia pada yang Dia cintai dan yang Dia benci. Tetapi Dia tidak memberikan (kesedaran) beragama, kecuali kepada yang Dia Cintai. Maka barang siapa diberikan (kesedaran) beragama oleh Allah, bererti ia dicintai oleh-Nya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baihaqi).


Memahami agama

Ketika seorang hamba dicintai Allah, maka Allah akan memudahkannya memahami agama sehingga setiap ilmu yang dipelajari akan mudah difahami dan diamalkan.


Sulit melakukan maksiat

Di antara tanda Allah mencintai hamba-Nya ialah kesulitan melakukan maksiat.
Mereka tidak akan boleh melakukan maksiat dan jika terbiasa melakukan maksiat, mereka akan merasakan itu sangatlah sulit sehingga tidak boleh melakukannya.

Seperti kisah Rasulullah s.a.w, Allah yang memalingkan baginda supaya tidak datang ke pesta malam dengan cara menjadikannya mengantuk luar biasa dan tertidur ketika dalam perjalanan.


Husnul Khatimah

Di antara tanda Allah mencintai hamba-Nya ialah Dia menutup umurnya dengan amal soleh. Tidak semua manusia yang mendapatkan kenikmatan itu.

Sebahagian manusia menghabiskan umurnya dalam ketaatan, tetapi mati dalam keadaan maksiat kepada Allah. Abu Bakar berkata: “Jika satu kakiku di dalam syurga, dan kaki yang lain di luar syurga, maka aku belum aman.”

Jika kita melakukan maksiat, takutlah pada kematian dan hati-hatilah kalau kita mati dalam keadaan melakukan maksiat. Rasulullah Bersabda: “Jika Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memaniskannya.” Sahabat bertanya: “Apa itu memaniskannya ya Rasulullah?”

Baginda berkata: “Dia akan memberi petunjuk untuk melakukan kebaikan saat menjelang ajalnya, sehingga tetangga akan meredainya atau ia berkata orang sekelilingnya.” (Hadis riwayat Al-Hakim).

Demikianlah ketika Allah mencintai kita, maka kita perlu menyedari kita hanyalah manusia biasa bukan malaikat yang tidak memiliki hawa nafsu.

Sebagai manusia, kita sentiasa tidak pernah puas. Maka perjuangan terbesar dan terberat kita ialah melawan hawa nafsu. Jika terlalu menurut nafsu, ia akan menghancurkan kita.

Selamat berjuang semoga Allah selalu bersama kita.