16 December 2010

ISLAM DAN HAIWAN

Oleh ARIF FAHMI MD YUSOF

SEORANG pakar sejarah dan undang-undang dari Universiti Northwestern, Chicago, Dr Kristin Stilt dalam kajiannya mengenai haiwan dan Islam mengakui sistem kebajikan haiwan dalam Islam sebagai satu model yang amat sesuai bagi setiap manusia.

Dr. Richard Foltz, seorang sarjana dari Universiti Concordia, Canada yang banyak menyelidik tentang haiwan dan agama juga melihat perlindungan yang diberi oleh Islam kepada haiwan adalah lebih baik berbanding agama lain dan sistem barat.

Kedudukan haiwan dalam Islam memang telah sedia termaktub dalam al-Quran dan sunnah. Walaupun haiwan tidak diberikan kedudukan setaraf manusia dari segi akal fikiran, kedudukan mereka dari sudut kehambaan adalah sama seperti manusia.

Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu (al-An'am: 38).

Haiwan merupakan salah satu makhluk hidup ciptaan Allah selain manusia. Selain menyebut tentang kisah kehidupan manusia, firman-firman Allah juga menceritakan perihal haiwan.

Ini dizahirkan dengan enam daripada 114 surah dalam al-Quran yang dinamakan sempena nama-nama haiwan seperti surah-surah al-Baqarah (lembu), al-An'am (haiwan ternakan), al-Nahl (lebah), al-Naml (semut), al-Ankabut (labah-labah) dan al-Fil (gajah).

Ayat-ayat al-Quran juga secara umum dan spesifik menyebut haiwan-haiwan lain seperti unta, kuda, keldai, biri-biri, monyet, anjing, khinzir, ular, nyamuk, lalat, burung hud-hud, gagak dan banyak lagi.

Hadis-hadis Rasulullah SAW juga kerap kali menceritakan tentang haiwan terutamanya tanggungjawab manusia terhadap haiwan.

Sebelum kedatangan Islam, haiwan digunakan sebagai alat dalam pemujaan dan sihir oleh sebilangan besar masyarakat jahiliah. Penyembelihan dilakukan atas nama berhala. Haiwan seperti unta, kuda, dan lebah dianggap sebagai pembawa berkat dalam kehidupan mereka. Anjing dan kucing pula dikaitkan dengan kejahatan. Ia seterusnya membawa pengaruh yang besar dalam masyarakat Arab sehingga beberapa suku kaum dinamakan sempena nama haiwan seperti Quraish (jerung), Kalb (anjing) dan Asad (singa).

Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah mengubah amalan songsang masyarakat jahiliah. Penyembelihan atas nama berhala digantikan dengan nama Allah.

Islam menolak kepercayaan masyarakat jahiliah yang mengaitkan haiwan dengan perkara-perkara tertentu seperti keberkatan dan kejahatan serta menggolongkan mereka di kalangan yang dusta kepada Allah (al-Maidah: 103).

Haiwan disifatkan sebagai hamba yang sentiasa patuh kepada suruhan Allah.

Lihatlah firman Allah kepada lebah yang bermaksud: Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok dan dari apa yang mereka dirikan (al-Nahl: 68).

Kepatuhan lebah kepada Allah dapat dilihat hingga sekarang dan kebanyakan sarang-sarang mereka didirikan di atas pokok, dalam hutan dan di tempat penternakan lebah yang disediakan oleh manusia.

Allah juga berkuasa menjadikan haiwan dan manusia memahami antara satu sama lain. Inilah antara mukjizat yang diberikan kepada nabi Allah Sulaiman yang dapat memahami bahasa haiwan.

Kisah ini dirakamkan dalam al-Quran apabila Nabi Sulaiman mengarahkan tentera baginda berhenti sewaktu mendengar suara seekor semut yang memberikan amaran kepada rakan-rakannya supaya segera masuk ke sarang mereka daripada dipijak oleh tentera baginda (al-Naml: 18).

Haiwan juga disifatkan oleh Allah sebagai hamba yang taat dan sentiasa bertasbih kepada Allah. Hanya kita manusia yang tidak memahami tasbih mereka (al-Israk: 44)

Makhluk Allah ini juga sentiasa taat mengerjakan ibadat dan memuji kebesaran Allah dan Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka lakukan (al-Nur: 41).